BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

06 June, 2008

Seketul batu utk kenangan...


“CIKGU!Cikgu Iwani!”
“Oh , Cikgu Manap!Apa halnya?”
“Cikgu mengelamun ya!Tentu ingat orang yang jauh,” usik Cikgu Manap.
Memang pun aku sentiasa ingat orang yang jauh sebab di sini bukanlah negeriku.

”Cikgu bertugas minggu ini, bukan?”
Iwani mengangguk.
”Ada pelajar sakit. Mungkin kena gastrik,”kata Cikgu Manap sambil memandang Iwani.
”Siapa?”
”Juana, murid Dua Merah.”
”Oh!”sahut Iwani sambil menelan air liur.
Sebentar sahaja kenangan pagi tadi bagaikan iklan televisyen berulang-ulang lagi dalam kotak fikiran Iwani. Hampir dua waktu Iwani mendera Juana berdiri di depan bilik darjah. Juana yang hanya berskirt singkat tanpa stoking terpaksa berpeluk tubuh sambil menggigil di tepi longkang. Cuaca pula sejuk sekali pagi tadi,ditambah pula dengan hujan yang mula turun rintik-rintik berserta angin yang sepoi-sepoi bahasa.
Tetapi peduli apa,Juana yang tidak menyiapkan latihan Matematik!Dia wajar menerima hukuman untuk itu.

Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga, disebabkan Juana seorang tidak siap kerja, satu kelas menerima leteran Cikgu Iwani.
”Badan saja besar, tulisan macam kuman ,” jerkah Cikgu Iwani kepada Nyadang.
Nyadang yang tidak berani lagi memandang wajah Cikgu Iwani cuba menahan tangis. Cikgu Iwani kemudiannya mencari-cari kesalahan murid lain. Mansor masih teresak-esak kerana disergah Cikgu Iwani sebab lama ke dalam bilik air. Apabila tidak ada perkara lain untuk Cikgu Iwani marah,Abu yang pendiam dan rajin itu pun digertaknya kerana mata pensel tumpul. Cikgu Iwani dengan senang hati membiarkan Nana dan Suhan berdiri dengan sebelah kaki selama setengah jam di atas kerusi kerana meniru.






”Kenapa mereka menjadi mangsa untuk aku melepaskan geram dan sakit hati ini? Hampir dua bulan sejak aku habis maktab, dan kena `posting` di daerah ini , aku telah bertukar menjadi garang seperti singa.Ah, aku sendiri tidak kenal diriku lagi. Salah Jabatan Pendidikan juga, kenapa hantar aku ke tempat bukan pilihanku?”keluh hati kecil Cikgu Iwani.

”Mansor kata, cikgu denda Juana tadi,”Suara Cikgu Manap menikam jantung Cikgu Iwani.
Nantilah, Mansor, sudah pandai mengadu rupanya.
”Dia yang tak siapkan latihan yang saya beri.Bukan sekali, tapi dah banyak kali. Macam mana saya nak bersabar,” kata Cikgu Iwani kepada Cikgu Manap, cuba menyembunyikan rasa bersalahnya.

* * * * *

Cikgu Iwani memangku Juana dalam hujan lebat. Wajah Juana semakin pucat. Takutnya kepada Cikgu Iwani mengalahkan takutnya kepada hantu. Mujurlah Cikgu Manap menemaninya bersama. Kalau tidak Juana telah lama sesak nafas, menahan gementar. Cikgu Manap yang terkenal dengan sifat penyayang serta sabar itu, memayungkan mereka ke arah kereta.

Kini barulah Cikgu Iwani berasa bersalah kerana mendera Juana pagi tadi. Tempias hujan menerpa wajahnya dan pecah berderai bersama air mata yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sebaik sahaja masuk ke dalam perut kereta Cikgu Manap, Cikgu Iwani mencapai kertas tisu dan mengeringkan mukanya yang basash. Rasa asin air mata jatuh di bibirnya.

Kereta buruk Cikgu Manap terhinggut-hinggut meredah hujan yang semakin lebat menuju ke Poliklinik di Jalan Oya.

Cikgu Manap ikut tersenyum. Dalam diam, Cikgu Manap mengakui Cikgu Iwani sebenarnya baik dan bersifat keibuan. Cikgu Manap selalu sahaja mendapat aduan terutamanya daripada murid-murid darjahnya mengenai `kekejaman` Cikgu Iwani. Kata Mansor Cikgu Iwani garang mengalahkan mendiang datuknya yang kononnya pernah menampar cucu Raja Brooke. Tetapi pada saat ni, tidak benarlah aduan Abu dan Suhan , tidak tepatlah apa yang dikatakan oleh Mansor dan seolah-olah bohonglah Juana serta karutlah omongan Kates selama ini. Cikgu Iwani di sebelahnya di tampak begitu baik dan sungguh anggun.

”Kenapa kita balik ke sekolah semula?”soal Cikgu Iwani kepada Cikgu Manap.
”Kerana rumah Juana berdekatan dengan sekolah. Lebih kurang seratus meter sahaja dari sekolah,”balas Cikgu Manap sambil menunjukkan rumah Juana yang usang.




Hujan semakin lebat, namun hujan di hati Cikgu Iwani lebih lebat lagi apabila melihat keadaan rumah Juana dan keperitan hidupnya yang ditempuhi selama ini.
Cikgu Iwani menahan mutiara-mutiara matanya daripada jatuh ke pipinya.Cikgu Manap melambai-lambai ke arah rumah Juana. Sejurus kemudian, dua orang budak lelaki menerpa keluar.

”Emak ada?”tanya Cikgu Manap kepada kedua-dua budak lelaki itu yang basah kuyup tanpa baju.
Mereka menggeleng.”Emak tak ada, ayah pun sama,”kata abang Juana yang berumur sepuluh tahun itu.Cikgu Iwani menghulurkan payung kepada mereka. Mereka menerimanya dengan memberikan senyuman yang manis kepada Cikgu Iwani.
”Ada apa cikgu datang ke sini?”soal Ali.
”Cikgu sebenarnya hendak menghantar Juana ke sini, dia sakit,”kata Cikgu Manap.
Kedua-duanya terkejut dengan khabar yang baru sebentar tadi diterimanaya. Pandangan beralih ke belakang kereta. Cikgu Manap membuka pintu tempat duduk belakang. Lantas si abang terus mendukung Juana . Cikgu Manap memayungkan mereka ke rumah. Sementara si adik pula mengambil beg plastik berisi alat tulis dan buku-buku sekolah Juana.Cikgu Iwani sempat juga menghulurkan plastik berisi ubat untuk Juana.

Cikgu Iwani merasakn kakinya kaku untuk berjalan ke rumah Juana .Dia tidak sanggup melihat kepedihan hidup anak muridnya yang sering didera dalam kelas.Baru Cikgu Iwani sedar, betapa bertuahnya dia dibesarkan dengan kekayaan sebagai anak Dato` Zulkifli dan Datin Aisyah..Selama ini, dia selalu mengeluh dengan apa yang dia perolehi selama ini.Cikgu Iwani menanggung pilu sendirian.

Sementara menunggu Cikgu Manap, Cikgu Iwani melihat rumah Juana yang beratapkan zink dan berdindingkan kayu nipis yang boleh melayang bila-bila masa jika angin kencang..Rumahnya yang lebih kecil daripada bilik Cikgu Iwani di Ketumbar Heights membuahkan rasa insaf dalam hati nuraninya.

`Aku ini memang tidak tau bersyukur`.Tak sudah-sudah merungut; kenapa mereka hantar aku ke sini.Paling teruknya, aku masih berharap agar abah dapat mencari kabel membawa aku keluar dari Bumi Kenyalang ke Kuala Lumpur secepat mungkin.Memanglah aku tak betah tinggal di Sibu ini, tapi sebenarnya aku sendiri yang terlalu sombong dan angkuh untuk cuba suaikan diri aku di sini.

Tiba-tiba,Cikgu Iwani malu pada dirinya sendiri.Di Kuala Lumpur, siapalah yang pedulikan guru sekolah rendah sepertinya.Kebanyakan murid-murid ada tuisyen luar. Setiap kali mengajar di dalam kelas, pasti murid-muridnya sudah tahu jauh ke depan tentang sesuatu bab yang diajar.Iwani telah merasakan keadaan seperti itu semasa latihan praktikal di Damansara di Sekolah Kebangsaan Taman Muda.Sedangkan di sini, mereka benar-benar memerlukan tenaga pengajar.




”Tidak bolehkah aku berkorban sedikit demi bangsaku juga?Tidak bolehkah aku membuang sedikt rasa sombong dan angkuh untuk mengajar mereka yang lebih memerlukan?”desus hati Iwani yang masih mencari hidupnya yang sebenar.

Hujan sudah mulai reda ketika Cikgu Manap kembali semula ke kereta.Kemeja berwarna biru tuanya separuh basah. Sambil tersenyum kepada Cikgu Iwani,dia cuba menghidupkan enjin kereta, tetapi gagal. Cikgu Iwani ketawa.

”Beli jelah Proton Wira,” gurau Cikgu Iwani.
”Nak beli memang senang, Banyak bank yang boleh memberi pinjaman, tapi saya tak sanggup hidup dalam hutang-piutang,” tegas Cikgu Manap, yang sudah lima tahun berkhidmat di Sarawak.

Cikgu Manap berasa agak kecik hati dengan gurauan Cikgu Iwani.Buruk-buruk keretanya pun, hasil duit simpanannya yang halal.Cikgu Manap cuba lagi menghidupkan enjin keretanya, kali ini dimulakan dengan `Bismillahirrahmanirrahim.`Allahmdulillah, enjin keretanya hidup juga. Cikgu Manap dan Cikgu Iwani meninggalkan rumah Juana sambil melambai ke arah Juana dan adik-beradiknya.

* * * * *

”Itu ke guru bahasa Orang Putih dan Ilmu Hisab?”
”Itu ke?”
Juana mengangguk-angguk.
”Juana kata, guru perempuan itu jahat.Tapi abang tengok dia baik dan cantik,:kata Ali.
”Memanng Cikgu Iwani cantik tapi garangnya macam singa! Dia nampak baik tadi sebab dia takut kepada guru kami.Cuba kalau Cikgu Manap tak ada...”kata Juana sambil ketawa .Tiap-tiap hati Juana menceritakan keburukan Cikgu Iwani kepada Ali.
”Oh,”sahut Ali dengan rasa separuh percaya dengan cerita-cerita Juana selama ini.

”Juana, ubat ini hendak makan banyak mana?”
Ali membuka penutup botol ubat sambil tangan kanannya memegang sudu kecil yang sudah bengkok pemegangnya.
”Yang ini makan kalau sakit, yang ini cuma satu sudu saja dan yang ini...tak payah sebab pahit,”
Juana ketawa sambil melarikan diri . Ali mengejar Juana dengan botol ubat di tangannya. Juana masih ketawa. Adik mereka, Antik pun turut ketawa . Sekejap sahaja Juana dapat ditangkapnya.Rumah sesempit ini, sejauh manalah mereka dapat berlari dan bersembunyi. Kalau orang kentut perlahan pun dapat dikesan oleh telinga.
”Cepatlah makan ubat!Jangan main-main lagi,”kata Ali seakan-akan jauh hati.




Ali berasa sedih,walaupun sudah sepuluh tahun, dia masih buta huruf.Juana selalu berjanji, dia akan mengajar Ali membaca dan menulis. Namun janji tinggal janji. Balik dari rumah, Juana terpaksa mengasuh adik kecilnya, Jurainah.Sementara dia sendiri sibuk membantu emak dengan kerja-kerja rumah yang lain.

Sebelah malam pula, ayah mengajar mereka sekeluarga mengaji al-Quran dan mengenal serta menulis huruf-huruf Jawi. Kalau ayah letih, mereka terpaksa tidur awal. Emak langsung tidak benarkan mereka menyalakn lampu minyak tanah kerana emak bukan sahaja takut terbakar, tetapi mereka harus berjimat. Gaji ayah sebagai buruh binaan bukannnya banyak.Kalau tidak bekerja lagilah, tiadalah gaji. Sekadar tiga belas ringgit sehari untuk mereka makan,Ali sedar,ayah tidak mampu menyekolahkannya seperti Juana.

Kadang-kadang dia berasa kesal berkorban untuk Juana dahulu. Sepatutunya, dia yang bersekolah, bukannya Juana.Malulah kalau orang lelaki tidak tahu membca. Tiba-tiba timbul rasa cemburu terhadap Juana. Tetapi apabila teringat adiknya yang selalu sakit-sakit dan ingin sangat ke sekolah, hatinya menjadi ikhlas.
Dia rela membantu di rumah.Biarlah Juana yang merasai segala keseronokan sebagai murid. Tahun depan, kalau ayah berduit tentu Antik pula masuk darjah satu.Kemudian Daud,selepas itu, Jurainah. Sedangkan dia sendiri akan menjadi buta huruf untuk selamanya. Akukah yang bakal mewarisi kerja ayah nanti?Ali diburu rasa kebimbangan.

”Hairan, ke mana pula ayah ini?Agaknya masih menunggu hujan betul-betul reda,” desus hatinya. Emak pun belum pulang lagi.Biasanya pukul dua petang emak sudah ada di rumah. Juana sudah nyenyak tidur di sebelah buaian Jurainah. Daud yang berusia empat tahun masih terbaring keletihan selepas puas bermain hujan pagi tadi.Antik seperti biasa menunggu emak di tangga pada waktu-waktu begini.

Selalu juga emak membawa sesuatu apabila pulang. Sejak emak bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di kedai India Muslim di seberang jalan sana, mereka jarang kelaparan pada waktu petang. Ada saja yang tauke kedai itu bekalkan untuk mereka . Antaranya yang paling mereka suka- roti canai.Walaupun itu cumalah lebihan jualan tetapi bagi Ali dan adik-beradiknya, makanan itu sungguh enak . Kata emak, kalau roti itu masih panas-panas, rasanya lebih sedap dan lembut dengan yang emak bawa balik.

Kasihan emak,dalam keadaan berbadan dua pun masih kena bekerja. Ayah kata, kalau Ali besar sikit, bolehlah ganti emak kerja di kedai itu. Sebanarnya, Ali rasa dia sudah cukup dewasa. Dia sudah mampu menjadi `emak` kepada adik-beradiknya, apabila emak keluar bekerja. Ayah juga menyerahkan tanggungjawab mengawal Juana , Antik, Daud, dan Jurainah kepadanya. Kalau emak sakit, dialah yang merawat emaknya. Jadi, Ali rasa, dia sudah bersedia untuk segala-galanya untuk keluarga.



Selama ini kerja yang lebih berat daripada itu pun, dialah yang melakukannya.Siapa yang mengangkut air berulang kali dari pili yang berdekatan, kalau bukan dia. Setakat untuk membasuh pinggan mangkuk, dia memang cekap. Tiap-tiap hari itulah kerjanya di rumah.

”Emak balik!Emak balik!”jerit Antik.
Mendengar jeritan tersebut, Daud menerpa ke arah pintu. Juana terbangun dari tidur.Ali memandang tangan emak. Tidak ada plastik makanan seperti kelmarin.Juana menelan air liur. Antik hampa.Daud kecewa.Ketika ini, Ali rasa ingin cepat-cepat bekerja di kedai mamak tu supaya dia boleh makan roti canai panas-panas, dan membawa balik roti canai banyak-banyak untuk adik-adiknya.

Melihat empat pasang mata merenungnya,Saftuyah faham hasrat anak-anaknya. Tetapi apakan daya,hari ini orang ramai tidak ada jualan yang berbaki. Mujurlah tangisan Jurainah membuatnya boleh naik rumah tanpa soal jawab. Saftuyah terus menghidupkan dapur kayu. Sudah pukul tiga, perut anak-anaknya belum berisi.

* * * * *

Sejak Cikgu Manap bercerita fasal keluarga Juana , Cikgu Iwani selalu memerhati mereka. Mereka sering bermain di luar pagar sekolah. Sekarang ini sudah rutinnya, menunggu bas berdekatan dengan pohon besar berhampiran dengan rumah Juana. Pemandu bas nombor empat itu telah cam muka Cikgu Iwani. Jadi dia sering menyembunyikan hon dan Cikgu Iwani tidak pernah tertinggal bas.

Cikgu Iwani berpura-pura membca sedangkan ekor matanya meliar mencari Juana dan adik-beradiknya. Enatah kenapa, cikgu Iwani rasa tertarik untuk mendekatkan dirinya dengan mereka, terutamanya Ali. Menurut Cikgu Manap, Bapa Juana rakyat Indonesia yang berasal dari Acheh. Ibunya pula berketurunan Iban yang memeluk agama Islam.
Kata Cikgu Manap lagi,Juana bersekolah pun atas ihsan Guru Besar sekolah mereka sahaja.

* * * * *

”Cikgu!Cikgu!”
Aku mencari arah suara yang halus tadi.
”Oh, inilah Ali, bukan?”tanyaku.
Dia mengangguk.
”Buku cikgu jatuh.”
Dia mengambil buku yang jatuh itu dan menyerahkan kepadaku.
”Ambillah .”Aku memberi semula buku cerita itu kepadanya.Dia menolak.Aku menghulurkannya lagi.
”Tak payahlah, saya tak tau membaca,”kata Ali sambil memandangku dengan rasa malu.




Aku berasa hairan.Anak-anak abangku dalam usia begini, bukan sahaja sudah boleh menguasai Bahasa Melayu dengan baiknya, tetapi juga mahir berbahasa Inggeris. Mereka sudah boleh membaca ensiklopedia dan cekap bermain `scrable`.Aku yang lepasan TESL ini pun mudah dikalahkan anak saudaraku itu. Tiba-tiba, di hadapanku ada budak yang tidak boleh membaca, walaupun sudah berumur sepuluh tahun, aku kira! Apa yang sekolah telah lakukan kepada budak-budak seperti ini? Apa sudah jadi dengan 3M?



”Saya tidak pernah pergi ke sekolah ,cikgu,” kata Ali seperti faham apa yang tersirat di dalam hatiku.
”Oh!”Perjudisku terhadap KBSR terkubur di ditu.
”Juana tak tolong ajarkan?”tanyaku.
Ali menggeleng lagi.”Dia tak ada masa, cikgu”

”Cikgu boleh tolong kamu.”
Dengan mudah sahaja aku berjanji.Rasa simpati mengatasi segalanya.Semalam menerusi telefon aku sudah beritahu abah, aku sudah tidak perlu `kabel` lagi. Aku sedia tinggal di sini sehingga tempohnya. Abah ketawa dan mengusik . Kata abah, tentu aku sudah terpikat dengan orang Sarawak.

Aku tidak menafikannya dan tidak pula mengiyakannya.
”Tunggu cikgu pukul 12.30 tengah hari di sini. Pukul satu baru bas cikgu datang, jadi cikgu dapat ajar Ali dalam setengah jam, Insya-Allah.”

Wajah Ali menjadi cerah. Aku berasa sungguh gembira. Dari jauh, aku nampak Juana menyorok di belakang adiknya.Dia masih tidak mesra denganku. Mungkin masih fobia dengan wajah singa di mukaku. Murid-murid yang lain masih melekat di pagar sekolah menyaksikan murid-murid lawan bola di padang. Walaupun habis badan mereka tercetak dengan corak jaringan pagar yang persegi, mereka tidak kisah. Panas-panas begini mereka rela tenpa baju dan berpayungkan matahari, berdiri tegak di situ. Lasak sungguh.

”Terima kasih, cikgu.”Bas nombor empat memisahkan bicara kami.

* * * * *

Setelah hampir setahun Cikgu Iwani berkhidmat di Sarawak, kini tibalah masanya Cikgu Iwani untuk berpindah semula ke Kuala Lumpur.Juana memberitahu abangnya, Ali bahawa tidak lama lagi Cikgu Iwani akan meninggalkan Bumi Kenyalang itu hujung minggu ini.




Ali berasa bagitu sedih sekali dengan perkhabaran yang diberitahu adiknya itu.Dia sayang sangat dengan Cikgu Iwani kerana cikgu itu telah mengajarnya membaca sehingga dia boleh membaca dengan lancar sekarang ini.Bagi dirinya, Cikgu Iwani merupakan guru yang penyayang dan baik hati kerana mengajarnya tanpa perlu membayar sesen pun.Juana mengakui bahawa Cikgu Iwani telah berubah menjadi guru yang penyayang.Bukan lagi seperti singa.Namun, Ali tahu, setiap pertemuan itu akan berakhir dengan perpisahan.Itulah kata-kata Cikgu Iwani semasa tempoh Cikgu Iwani berada di situ semakin singkat

Esok, Cikgu Iwani akan meninggalkan Bumi Kenyalang itu bersama dengan kenangan yang tidak akan dia lupa.Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Cikgu Iwani telah berjanji kepada Ali, dia akan ziarah rumah Ali dan keluarganya.

Ali memberikan satu sampul surat dan bungkusan yang berbalut dengan kertas surat khabar kepada Cikgu Iwani.
”Cikgu, saya harap cikgu sudi menerima buah tangan saya yang tidak seberapa ini.”
”Terima kasih, Ali. Buat susah-susah je.”
”Sama-sama,cikgu.Budi cikgu yang telah cikgu beri kepada saya tidak dapat saya membalasnya, jadi ini saja yang dapat saya berikan.Tidaklah susah mana pun. Cikgu bukalah sampul surat dan bungkusan ini ketika dalam penerbangan ya.”
”Baiklah, Ali. Cikgu gembira dapat berjumpa dengan kamu. Cikgu harap kamu semua belajar bersungguh-sugguh,”kata Cikgu Iwani kepada adik-beradik Ali.Keluarga Ali turut mengucapkan terima kasih atas kesudianku mengajar anak-anak mereka.

Seluruh keluarga Ali mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepadaku. Aku menahan sebak yang dari tadi hadir , namun aku memaksa diri untuk ceria apabila berhadapan dengan Ali dan keluarganya.Mereka melambai-lambai kepadaku ketika aku berangkat pulang ke rumah sewaku.

* * * * *

Dalam penerbangan ke Kuala Lumpur,Cikgu Iwani membuka sampul surat dan bungkusan yang diberikan oleh Ali.Dalam isi surat itu:

Ke hadapan Cikgu Iwani yang kusayangi..Saya harap cikgu
dapat mnerima batu yang tidak seberapa itu sebagai buah tangan
daripada sayaMakna batu itu menunjukkan ingatan saya dan
keluarga saya terhadap cikgu ridak akan luput kerana
telah banyak budi yang cikgu curahkan kepada kami
sekeluarga.Saya harap cikgu simpan batu itu sebagai
kenangan cikgu selama cikgu berada di sini.Budi baik cikgu tidak dapat
saya membalasnya.Kehadiran cikgu bagai lampu yang menerangi
hidup saya yang penuh dengan kegelapan.Terima kasih cikgu kerana
sudi mengajar saya membaca selama dua bulan.Cikgu tidak
pernah rasa jemu mengajar saya membaca dalam tempoh yang
panjang itu.Akhir kata, semoga cikgu selamat sampai ke tempat
yang dituju dan menjadi guru yang lebih cemerlang di sekolah baru.
Terima kasih, cikgu.

Sekian.

Menitis mutiara berharga dari mata Cikgu Iwani selepas membaca surat itu.Dia melipat kembali surat itu dan memasukkannya kembali.Dalam dirinya, dia berjanji, dia akan menjadi guru yang baik dan memahami. Dia akan cuba sedaya upaya untuk memadamkan sifat sombong dan angkuhnya setelah mula mengajar di sekolah yag baru nanti.

-TAMAT-

0 comments: